Isu kamera murah dan kamera mahal memanglah satu isu yang sentiasa dibincangkan. Orang baru dalam fotografi sentiasa terdorong untuk membeli kamera yang tercanggih yang ada di pasaran, yang kadangkala membebankan dari segi kewangan. Sindrom ini jadi makin kronik bila kawan-kawan selalu ‘racun’ kita untuk beli kamera dan accessories yang terbaru dan terbaik di pasaran.
Dari pemerhatian saya, ini terjadi kerana orang baru dalam fotografi tiada keyakinan pada diri sendiri. Mereka kurang pengetahuan fotografi dan kurang pengalaman. Jadi, untuk menutup kelemahan diri, ramai yang ambil jalan mudah – beli kamera mahal lagi canggih, dengan harapan, gambar yang dirakam akan jadi hebat secara otomatik. Malangnya, pendapat ini tidak benar.
Orang baru harus banyak belajar, banyak bertanya, banyak mengkaji dan banyak berlatih merakam gambar. Dengan cara ini, anda akan cepat pandai. Anda akan dapat keyakinan diri. Anda perlu yakin, bahawa, yang membuatkan gambar yang anda rakam itu cantik adalah kemahiran yang ada pada diri anda, bukannya disebabkan oleh kamera yang canggih.
Bila anda masuk bidang fotografi dan ingin jadi jurugambar, pastikan bahawa, minat utama anda ialah untuk hasilkan gambar yang baik, bukan mengumpul berbagai jenis peralatan kamera dan membeli setiap kamera keluaran terbaru. Maksudnya, jika ingin jadi jurugambar yang baik, anda harus fokuskan masa dan wang anda lebih kepada pembelajaran dan penguasaan kemahiran fotografi. Kamera hanyalah sekadar alat.
Jika anda ada kamera mahal, kamera tersebut akan jatuh harganya selepas beberapa tahun. Tapi jika anda ada ilmu dan kemahiran fotografi dalam diri anda, ianya tidak akan jatuh nilai, malah nilai diri anda sebagai seorang jurugambar akan sentiasa naik dengan setiap kemahiran dan ilmu yang anda perolehi.
Tidak salah membeli peralatan kamera mahal jika anda mampu. Tapi, sebagai jurugambar, pastikan bahawa, kemahiran anda sentiasa lebih hebat dari kamera anda. Janganlah hanya sekadar bergaya dengan peralatan hebat, tapi takut nak tunjuk hasil gambar.
Memang ada golongan yang digelar camera collector. Ianya juga satu hobi yang baik dan menarik. Tapi, kalau anda ingin dikenali sebagai jurugambar, anda lebih patut rakam dan collect gambar yang baik, bukan collect peralatan kamera.
- Hasnuddin
No comments:
Post a Comment